Sains


Definisi Sains Awal
Umumnya, Sains boleh didefinisikan sebagai ilmu yang boleh menerang dan memahami sifat alam. Bidang sains mengandungi tiga aspek iaitu kognitif, konatif dan afektif. Menurut Joseph  Abruscato (2000), sains adalah proses yang melibatkan kemahiran intelek dan manipulatif bagi mendapatkan maklumat berhubung alam semula jadi. Dengan kata lain,sains adalah pengetahuan yang diperolehi melalui aplikasi proses saintifik. Pengetahuan, kemahiran dan nilai yang diperoleh melalui pengalaman sains seharusnya dapat membantu kanak-kanak memahami dan mencorakkan alam sekeliling. Oleh itu, pendedahan awal dalam sains penting bagi membolehkan kanak-kanak membina rasa tanggunjawab dan prihatin serta rasa hormat pada alam sekitar. Interaksi positif yang dialami secara terus membantu peningkatan kanak-kanak dalam pembelajaran dan memperbaiki kualiti kehidupan dalam jangka masa panjang.
            Merujuk kepada pendidikan sains awal, ia menfokuskan dengan perkembangan deria/ sensori dan pemahaman dunia persekitaran. Bidang pembelajaran ini lebih dikenali sebagai pra-sains. Definisi Sains awal adalah subjektif iaitu sains adalah sesuatu yang dilakukan oleh kanak-kanak setiap hari apabila mereka bertanyakan soalan, memerhati serangga, membuat ketulan ais, menunggang basikal, mengasah pensel ataupun memasang lampu. Dengan kata lain, sains adalah sesuatu yang berkaitan dengan persekitaran yang mana ia akan mewujudkan perasaan ingin tahu kanak-kanak untuk meransang perkembangan kognitif dan deria mereka.
            Menurut Johnston (1996), kanak-kanak pada umumnya bersifat  ingin tahu atau inkuisitif. Kenyataan ini dibuktikan melalui soalan-soalan yang kerap kali ditanya dengan tujuan mendapatkan penjelasan dan kefahaman berhubung sesuatu yang menarik perhatian mereka. Soalan-soalan ini biasanya berkaitan dengan perkara yang dialami oleh kanak-kanak. Melalui proses ini, kanak-kanak akan cuba membina pengertian dan kefahaman berhubung dengan fonomena yang dialami.
            Proses Pendidikan Sains awal kanak-kanak pada peringkat awal menekankan konsep pembelajaran aktif. Justeru, aktiviti-aktiviti yang dirancang adalah bercorak Hands-on yang mana ia dapat melibatkan kanak-kanak secara aktif  melalui interaksi dengan bahan-bahan pembelajaran. Kanak-kanak belajar memahami sesuatu konsep dengan baik daripada pemerhatian, sentuhan, rasa dan manipulasi bahan bagi membina kefahaman saintifik.
            Pengetahuan sains awal yang diterapkan kepada kanak-kanak bermatlamat memberi pendekatan hands-on dalam pengajaran sains dengan memberi ruang dan peluang kanak-kanak membina kefahaman sendiri dengan bantuan guru. Harlan & Rivkin (1996), antara tujuan pendidikan sains adalah :
§  Membantu meningkatkan perkembangan bahasa dan kemahiran kanak-kanak.
§  Memberi peluang kepada kanak-kanak mengkaji perhubungan kesan dan akibat
§  Membantu kanak-kanak menguasai kemahiran berfikir secara kreatif, kritis, analitis dan sisitematik dalam membuat penakulan.
§  Membantu kanak-kanak membina dan menghayati sikap dan nilai murni.
 Dan disini ada beberapa cadangan laman web untuk kanak-kanak mempelajari tentang pendidikan sains dengan hanya satu 'klick' saja dan ini sangat membantu kepada kanak-kanak pada zaman sekarang yang lebih gemar menggunakan ICT dalam harian serta ia memudahkan ibu bapa yang berada di rumah untuk mendidik anak-anak mereka dengan pendidikan sains. 



No comments:

Post a Comment